BUKIT BUNUH MENGUBAH SEJARAH DUNIA











TAPAK PALEOLITIK
.. Mokhtar (tengah) memberi penerangan kepada wakil-wakil media berkenaan formasi batu-batuan suevit yang mengambungi ratusan alat batu buatan manusia Paleolitik ketika kunjungan ke Bukit Bunuh semalam.

LENGGONG, 14 Feb – Penemuan bukti di Bukit Bunuh menjadikannya salah sebuah tapak Paleolitik terpenting di dunia kerana mendedahkan sebuah kompleks Paleolitik seluas 4 km persegi dengan pentarikhan lebih 1.83 juta tahun, 40,000 dan 30,000 tahun dahulu. Ini meletakkan Bukit Bunuh sebagai tapak tertua dunia yang berada di luar Afrika, dan mempunyai pentarikhan kronometrik.

Maka, penemuan Bukit Bunuh telah mengukuhkan lagi bukti prasejarah di Lembah Lenggong, dan menjadikannya sebuah lembah arkeologi yang penting di dunia.

“Bukti-bukti yang ditemui dalam penyelidikan di Bukit Bunuh yang dilakukan sejak tahun 2001 menunjukkan yang tapak ini dihuni secara berterusan,” jelas Mokhtar.

“Bukit Bunuh menjadi pilihan kawasan petempatan awal kerana ia menyediakan sumber alam yang diperlukan untuk menyediakan peralatan batu serta mempunyai persekitaran kuno yang mempunyai sumber air dari tasik kuno, flora dan fauna yang diperlukan mereka,” kata Mokhtar.

Penemuan bukti penggunaan kapak genggam yang diumumkan pada tahun 2009 menunjukkan bahawa kawasan ini adalah satu-satunya tapak Paleolitik dunia yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu dan berterusan digunakan daripada semasa ke semasa sejak lebih 1.83 juta tahun dahulu. Kapak-genggam ini juga merupakan yang tertua di dunia buat masa ini

Penyelidikan di Bukit Bunuh juga menemukan bukti tentang sebab kemusnahan budaya awal Paleolitik ini akibat jatuhan meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu yang telah dikenalpasti melalui bukti geomorfologi, kehadiran batuan suevit dan geologi kawasan.

“USM telah dilantik oleh Jabatan Warisan Negara sebagai penulis dossier (cadangan) kepada UNESCO dan usaha ini telah dilakukan sesuai dengan penglibatan para penyelidik USM yang telah melakukan penyelidikan arkeologi sejak tahun 1987, yang memberi impak besar kepada dunia,” kata Pengarah Pusat Arkeologi Global, Prof. Madya Mokhtar Saidin ketika membawa para pemberi media melawat Bukit Bunuh hari ini.

Cadangan akhir telah pun dikemukakan oleh Jabatan Warisan Negara kepada UNESCO pada Januari lalu setelah draf pertama dihantar pada tahun lalu.

Pihak Jabatan Warisan Negara memaklumkan pasukan dari UNESCO dijangka melawat kawasan ini pada bulan Julai tahun ini dan pengumumannya dijangka dibuat pada tahun hadapan.

“Pengiktirafan ini penting bagi memastikan artifak-artifak yang ada termasuk batu-batu suevit yang terdapat ribuan banyaknya di kawasan ini yang perlu dipelihara sebagai warisan Negara dan terus diselidiki untuk mendapat gambaran sebenar siapakah mereka yang menghuni di kawasan ini sejak lebih 1.83 juta tahun lalu yang sebenarnya berupaya mengubah beberapa teori tentang masyarakat Paleolitik sepert teori normadik dan pergerakkan manusia awal,” jelas Mokhtar.

Teori normadik tentang kebudayaan Paleolitik sebelum ini menyatakan bahawa mereka hidup berpindah randah manakala penemuan bukti di Bukit Bunuh menunjukkan bahawa masyarakatnya tidak sedemikian kerana keperluan asas yang diperlukan sebagai manusia adalah melebihi keperluan.

Para pemberita dibawa melawat dan melihat dari dekat bukti-bukti yang ada termasuk kemungkinan tulang manusia dan kesan-kesan daripada berlakunya bencana meteorit yang terdapat pada serpihan batu dan alat kapak genggam yang boleh dilihat begitu banyak terdapat di kawasan ini.

“Adalah amat merugikan negara, apabila kawasan dan penemuan ini tidak dipelihara dengan sewajarnya, apatah lagi dalam usaha kita untuk mengenal pasti siapakah sebenarnya penghuni asal yang dimaksudkan yang boleh terus diselidiki melalui pelbagai artifak yang sedia ada, sedangkan di kebanyakan negara ia terpelihara dan dijaga agar tidak mudah diusik oleh sesiapa sahaja,” kata Mokhtar di akhir lawatan di kawasan yang terletak dalam estet kelapa sawit yang dahulunya rimba, kemudiannya dijadikan kebun getah.

-----------------------------------------------------------------------------

BUKIT Bunuh

BUKIT Bunuh bagi kebanyakan penduduk di sekitar daerah Lenggong, Perak ketika ini hanya dikenali sebagai ladang kelapa sawit milik tauke Cina dan pada zaman penjajah Inggeris kawasan ladang itu dimiliki `Tuan Mat Saleh' dengan ditanam beribu-ribu pohon getah.

Tidak ada yang istimewa mengenai kawasan di bahagian barat Sungai Perak itu, ia sama seperti ladang lain di negara ini Ñ diusahakan sejak awal tahun 1900 untuk menjana ekonomi setempat.

Nama Bukit Bunuh bagi penduduk berdekatan pula dikaitkan dengan kisah bagaimana seorang lelaki pertengahan usia yang bermimpi bahawa dia perlu membunuh isterinya untuk mendapat harta dan menjadi kaya.

Terpengaruh dengan mimpinya, dia memilih tempat untuk melaksanakan tugas tersebut iaitu di sebuah kawasan hutan terpencil di atas bukit yang bersempadan dengan lembah yang agak luas.

Maka hebohlah penduduk kampung dengan rancangan lelaki separuh usia itu dan kerelaan isterinya untuk dikorbankan semata-mata kerana mahu suaminya menjadi kaya dan dipandang tinggi di mata orang kampung.

Rancangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan kerana ketika si isteri sedang mandi berlimau (mandi dengan perahan air limau sebelum dibunuh) di tepi sungai, dia ternampak tempayan emas sedang hanyut.

Lalu diambilnya tempayan itu dan diberikan kepada suaminya. Rancangan membunuh dibatalkan dan kekallah suami isteri itu sebagai orang kaya kerana sudah berharta.

Hutan berbukit berhampiran lembah itu kemudiannya digelar Bukit Bunuh oleh orang kampung mengambil sempena peristiwa tersebut.

Kawasan itu kononnya tidak berani diusik sehinggalah diteroka oleh penjajah Inggeris.

Kewujudan Bukit Bunuh yang tidak pernah dipedulikan masyarakat bagaimanapun berubah awal baru-baru ini apabila seorang ahli kaji purba dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Mohd. Mokhtar Saidin mendakwa menemui bukti tamadun prasejarah zaman paleolitik berusia 20,000 hingga 30,000 tahun di kawasan tersebut.

Beliau bersama 13 pelajarnya menggali tujuh tempat di mana serpihan batu iaitu pisau dan senjata purba tertanam di sekitar kawasan itu dan menemui banyak serpihan batu berbentuk tiga segi dan tirus yang masih tidak terusik.

Kualiti penghasilan pisau batu jenis kuarzit, rijang dan kuarza itu amat tinggi bagi manusia zaman paleolitik, mungkin sehebat penghasilan pisau lipat Swiss Army dalam hubungan hari ini.

Ekskavasi bermula 5 hingga 12 April itu menganggarkan beribu-ribu bukti dapat ditemui dalam lingkungan 1.3 kilometer persegi di kawasan berkenaan.

Apa yang penting penemuan tersebut membuka ruang untuk mengesan sebuah pusat tamadun purba zaman paleolitik yang terbesar di Asia Tenggara dan masih belum terusik.

Penemuan itu mampu memperkukuhkan teori adaptasi tasik mengenai ketamadunan zaman prasejarah dan kemampuan manusia di rantau ini dalam mereka cipta peralatan zaman batu.

Penemuan tersebut mungkin tidak sehebat kejayaan ekskavasi barat mengesan habitat manusia purba berusia 2 juta tahun di Olduvai George, Afrika Tengah atau pondok berusia 450,000 hingga 380,000 sebelum Masihi di Terra Amata, Nice Perancis.

Bagaimanapun, ia membuka peluang untuk ahli arkeologi mencari bukti ketamadunan purba zaman paleolitik dalam suasana dan budaya di kawasan beriklim panas khatulistiwa dan monsun tropika.

Sebelum ini, penerokaan terhadap khazanah purba selain di Afrika banyak tertumpu di Eropah dengan penemuan bahan purba yang tertanam tidak terusik termasuk di kawasan sejuk bawah paras beku.

Apa yang ditemui oleh penyelidik USM ini bagaimanapun memperluaskan dimensi dalam ekskavasi purba kerana ia memberi tumpuan terhadap tamadun sebelah timur.

Dr. Mohd. Mokhtar ketika menerangkan penemuannya kepada 25 wakil media massa dalam satu kunjungan di kawasan itu minggu lalu menjelaskan bahawa kawasan Bukit Bunuh mungkin wujud sebagai sebuah pulau 20,000 hingga 30,000 tahun lampau.

``Lembah berhampiran merupakan tasik di mana mereka mencari ikan dan mendapat air minum, jadi mereka menetap di sini dan membentuk pelbagai batu tajam untuk memotong daging,'' jelasnya.

Batu yang dibentuk tajam oleh manusia purba turut dijadikan alat untuk melapah kulit, mengetuk tulang dan kayu atau mempertahankan diri dari serangan binatang buas.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengorek dua tapak seluas dua meter persegi dengan bantuan beberapa remaja di kampung berkenaan untuk menunjukkan serpihan batu yang tidak terusik kepada wakil media.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, USM, Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid ketika menghuraikan penemuan tersebut memberitahu kegiatan mengesan bahan purba di negara ini hanya aktif selepas 1987.

Sebelum ini, Malaysia serta negara-negara di sekitar Asia Tenggara dianggap tidak mempunyai bukti dalam ketamadunan purba sekali gus dianggap terkebelakang pada zaman prasejarah berbanding manusia di benua lain.

Mereka juga dianggap terlalu mundur, jauh ketinggalan dan tidak mempunyai perkembangan daya fikir untuk hidup dengan sempurna.

Sebelum USM menjalankan penyelidikan arkeologi di Lembah Lenggong, manusia terawal di negara ini hanyalah dianggap wujud sekitar 10,000 tahun lalu di Gua Cha, Kelantan, 35,000 tahun lalu di Gua Niah, Sarawak dan di Sabah 20,000 tahun lampau di Tingkayu dekat Tawau, Sabah.

Bukti terbaru daripada kajian ahli-ahli arkeologi USM menunjukkan tamadun purba di negara ini bermula lebih awal dan bukti yang ditemui mempunyai impak besar terhadap sejarah Asia Tenggara keseluruhannya.

Lokasi penemuan pusat masyarakat prasejarah Bukit Bunuh pula terletak kira-kira empat kilometer dari Bukit Jawa iaitu salah sebuah kawasan purba yang ditemui pada awal 1990-an.

Sebelum ini, para ahli arkeologi tempatan turut menemui Kota Tampan iaitu kawasan prasejarah di Lembah Lenggong yang kaya dengan tinggalan masyarakat prasejarah. Ekskavasi Kota Tampan pada 1987 telah menemukan kira-kira 50,000 alat batu yang terdiri daripada batu pelandas, batu teras, batu pemukul, sisa serpihan dan puingan.

Selain Kota Tampan, kawasan prasejarah di Lembah Lenggong ialah Gua Harimau, Gua Gunung Runtuh, Bukit Jawa, Temelong dan Lawin.

Penemuan terpenting ialah manusia terawal `Perak Man' pada 1990 yang hidup kira-kira 11,000 tahun lalu di Gua Gunung Runtuh yang menyumbang terhadap pengetahuan baru mengenai manusia awal di Semenanjung.

Bukti pembuatan alat-alat batu turut ditemui di Bukit Jawa berhampiran Kampung Gelok.

Ekskavasi itu mendapati lebih kurang 100,000 tahun lalu, banyak kumpulan manusia dikenali sebagai Kra Ithmus mendiami sebuah pulau dalam tasik.

Kedudukan Bukit Bunuh yang tidak begitu jauh dari kawasan penemuan bahan purba di Kota Tampan pula boleh membawa andaian bahawa ada pertalian atau hubungan antara kelompok manusia ketika itu.

Apa yang dikemukakan dalam ekskavasi penyelidikan purba USM dijangka diteruskan secara terperinci sehingga lima tahun lagi bagi mendapatkan lebih banyak bukti sokongan serta menunjukkan kepada masyarakat dunia tentang kemampuan manusia purba dari benua Asia.

Rahsia Bukit Bunuh selama ini mungkin tersimpan dan tidak diendahkan oleh sesiapa pun tetapi penemuan kali ini membawa bukti sokongan untuk meneroka dan mengemukakan bukti demi keunggulan tamadun bangsa.


Sumber : Muziumlenggong
----------------------------------------------------

***Mungkin sebelum ke Afrika atau China atau Indonesia, Lenggong adalah tapak mula nya?? 1.83 juta tahun adalah usia yang paling tua pernah dijumpai setakat ini.***

Popular posts from this blog

KITAB BARENCONG BHG 11

KITAB BARENCONG BHG 3

SHAMSUDDIN PASAI