MEOR ABDUL RAHMAN
Riwayat Hidup Mahaguru Silat Seni Gayong Salasilah Darah yang mengalir di dalam batang tubuh Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi daripada Daing Kuning, seorang pendekar terbilang pada penghujung abad ke-18. Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik anak raja Bugis berasal dari Makasar, Sulawesi, yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau Melayu yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Ketujuh-tujuh beradik ini, Daing Jalak, Daing Celak, Daing Merawak, Daing Mempawah, Daing Telani, Daing Pelangi dan Daing Kuning telah belayar meninggalkan tanah Bugis untuk mencari tapak penghidupan baru. Mereka telah menjelajah ke serata kepulauan Melayu bagi mencari kawasan penempatan yang sesuai menurut firasat masing-masing. Dalam tahun 1813, anak-anak Raja Bugis ini telah mendarat di Kuala Larut. ...