Tuesday, February 7, 2012

NUBE VS MAYBANK

MELAKA- Ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) cawangan Melaka, hari ini membuat laporan polis berhubung pemecatan Naib Presidennya, Abdul Jamil Jalaludeen dan Bendahari Agung, Chen Ka Fatt sebagai pekerja Maybank pada 31 Januari lalu.

Laporan tersebut dibuat bendahari NUBE cawangan Selatan, Kamarudin Bujang, bersama empat lagi ahli kesatuan itu di Balai Polis Daerah Banda Hilir di sini.

Mereka meminta supaya pihak berkuasa menyiasat pegawai kanan Maybank yang didakwa memecat dua individu berkenaan serta melakukan ugutan kepada pekerja Maybank lain supaya tidak melakukan piket terhadap organisasi perbankan itu.

Kamarudin yang mewakili 1,000 ahli kesatuan itu di Melaka mendakwa, Abdul Jamil yang bekerja di Maybank cawangan Pulau Pinang dan Chen di cawangan Ipoh,Perak dipecat atas kesalahan memegang sepanduk di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, tahun lalu dan disiarkan di laman sesawang kesatuan itu.

"Alasan pemecatan itu tidak relevan... kejadian itu sudah lama berlaku. Mereka dipecat hanya kerana gambar mereka sedang berpiket bagi memperjuangkan tuntutan 80 bulan bonus prestasi pekerja Maybank sejak 10 tahun lalu.

"Jadi kami ahli NUBE berharap pemecatan itu dapat ditarik semula dan satu rundingan dapat dilakukan dengan kadar segera bagi menyelesai segala masalah sedia ada," katanya di sini.

- BERNAMA


KOTA BHARU, 6 Feb: Tindakan Maybank memecat Naib Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Abdul Jamil Jalaludeen sebagai kakitangan bank terbabit mendapat bantahan meluas anggota kesatuan berkenaan.

Malah, Pengerusi NUBE Cawangan Kelantan, Mohd Azhar Yusoff membuat laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Berhad, Dato’ Seri Abdul Wahid Omar di atas tindakan tersebut.

Laporan polis juga dibuat terhadap Ketua Kumpulan Modal Insan Maybank, Nora Abd Manaf dan Ketua Perhubungan Perusahaan Maybank, Looi Heong Meng. Turut dipecat Maybank Bendahari Kehormat NUBE, Chen Ka Faat.

Mohd Azhar berkata, laporan polis dibuat kerana pemecatan kedua-dua Exco NUBE tersebut bersalahan dengan Seksyen 59(1) (d) dan (e) Akta Pehubungan Perusahaan.

“Ini kerana alasan pemecatan kedua-dua pimpinan NUBE amat tidak munasabah, ia dikatakan berpunca tindakan mereka mewakili NUBE memegang sepanduk di luar bangunan PBB dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa di Geneva Jun 2011.

“Sepanduk itu antara lain bertulis "Maybank robs poor Malaysian workers (Maybank merompak pekerja miskin Di Malaysia),” katanya selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pjabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

Sehubungan itu kata Mohd Azhar NUBE mengambil langkah membuat laporan polis di setiap cawangan bermula hari ini.

Beliau berkata, NUBE tidak lagi boleh berurusan dengan Maybank Berhad setelah banyak perkara yang didedahkan berkaitan penindasan pengurusan bank itu terhadap ahli NUBE.

“NUBE mengisytiharkan ‘perang’ terhadap Maybank. Ini merupakan satu tindakan perusahaan dibenarkan oleh Akta,” ujar beliau.

-Harakahdaily