Sunday, October 16, 2011

AIRASIA X IPO

























AirAsia X cadang laksana IPO
2011/10/15


Syarikat runding jual saham 10 peratus kepada Khazanah


AIRASIA X, bercadang melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraiannya tahun depan, dan kini sedang berunding untuk menjual 10 peratus sahamnya kepada Khazanah Nasional Bhd.
Ketua Eksekutifnya, Azran Osman-Rani, berkata penjualan saham kepada sayap pelaburan kerajaan itu, dijangka dibuat sebelum akhir tahun ini apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan ke atas harganya.
Beliau bagaimanapun tidak memberitahu saiz IPO yang dicadangkan itu atau di mana sahamnya akan disenaraikan.

Ogos lalu, Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Bhd bersetuju melaksanakan pertukaran saham dalam satu urus niaga bernilai kira-kira RM1.14 bilion, yang dianggap penganalisis dapat menghapuskan pertindihan perniagaan, selain mampu merangsang keuntungan kedua-dua syarikat.

Di bawah urus niaga itu, Khazanah akan mendapatkan 10 peratus kepentingan dalam AirAsia.

“Langkah seterusnya adalah Khazanah akan turut membeli kepentingan AirAsia X dan itulah kedudukannya kini,” kata Azran.
“Jika kami mencapai persetujuan ke atas harga dan pemegang saham menerimanya, maka mereka (Khazanah) akan menjadi pemegang saham dalam AirAsia X,” katanya.

Setakat ini, kumpulan itu itu masih belum melantik mana-mana bank bagi menguruskan cadangan IPO berkenaan.

Bagaimanapun, Azran berkata, AirAsia X sudah melantik Morgan Stanley sebagai penasihat bagi urus niaga dengan Khazanah.

AirAsia, yang membuat rekod dengan menempah 200 pesawat Airbus A320neo, menguasai 16 peratus kepentingan dalam AirAsia X, manakala Virgin Group yang dimiliki ahli perniagaan Richard Branson pula memegang 10 peratus.

Sementara itu, Azran berkata, AirAsia X yang kini menawarkan penerbangan ke New Delhi dan Mumbai belum merancang meningkatkan rangkaiannya di India kerana laluan ke negara itu kini mencatatkan kerugian.

Beliau berkata, permintaan kini lebih terarah kepada penerbangan keluar India, tetapi permintaan penerbangan masuk adalah kurang.

“Kita pernah berdepan situasi yang mana syarikat menawarkan 5,000 tiket percuma ke India dari Kuala Lumpur, tetapi hanya 3,800 yang diambil. Maka, kita perlu bekerja lebih gigih bersama industri pelancongan India bagi menjadikan Delhi dan Mumbai destinasi lebih menarik,” katanya.

Azran berkata, kurangnya alternatif hotel premium tinggi di kedua-dua bandar raya utama India itu menjadi punca utama kurangnya minat pelancong asing.

AirAsia X mencatatkan purata faktor muatan sekitar 70 peratus di India disebabkan tiada keseimbangan dalam aliran keluar dan masuk, berbanding kira-kira 80 peratus dalam kebanyakan pasaran lain. – Reuters