Friday, May 20, 2011

LANGKAH PENYENARAIAN KE BURSA

Langkah penyenaraian utama diteruskan


2011/05/19

NAJIB diiringi Ketua Pegawai Operasi NYSE, Lawrence Leibowitz (dua dari kanan)  ketika melawat lantai perdagangan saham di bangunan Bursa Saham New York (NYSE), semalam.
NAJIB diiringi Ketua Pegawai Operasi NYSE, Lawrence Leibowitz (dua dari kanan) ketika melawat lantai perdagangan saham di bangunan Bursa Saham New York (NYSE), semalam.
Kecairan pasaran tempatan mampu tarik pelabur asing

DATUK Seri Najib Razak berkata, proses penyenaraian utama yang dilakukan di Bursa Malaysia pada 2010 akan diteruskan tahun ini.
Perdana Menteri berkata, ia akan memastikan lebih banyak kecairan dalam pasaran saham tempatan untuk dilabur oleh dana asing seperti ekuiti swasta.
“Hakikatnya kita sudah memulakan regim liberalisasi (dan) sudah mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan mengurangkan pegangan mereka (dalam syarikat senaraian awam tempatan).

“Hakikat bahawa kita sudah melakukan beberapa penyenaraian utama tahun lalu, dan meneruskannya tahun ini, bermakna lebih banyak kecairan untuk pengurus dana asing,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika ditanya rancangan selanjutnya selepas menjayakan Invest Malaysia 2011 di Bursa Saham New York, semalam.

Antara penyenaraian utama di Bursa Malaysia ialah Petronas Chemicals Bhd dan Malaysia Marine & Heavy Engineering Bhd, syarikat pembina pelantar yang dimiliki MISC Bhd, sebuah syarikat yang dikuasai oleh PETRONAS.

Najib yang menyampaikan ucaptama pada acara dua hari yang dihadiri lebih 360 pelabur dan 10 syarikat terkemuka Malaysia, berkata, mesej kepada sektor korporat Amerika Syarikat (AS) ialah Malaysia sudah bersedia menjadi mesra perniagaan sebaik-baiknya.
“Pintu terbuka luas. Kita mempunyai agensi untuk mereka hubungi, supaya kita dapat menyegerakan keputusan agar mereka dapat melabur di Malaysia,” kata Perdana Menteri yang turut menghadiri jamuan tengah hari meja bulat bersama pemimpin industri.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pelabur AS telah dimaklumkan mengenai cara untuk berhubung dengan kerajaan Malaysia supaya cadangan mereka boleh dipertimbangkan dan disegerakan.

Perdana Menteri berkata, beberapa syarikat AS sudah menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia, termasuk sebuah yang mengharapkan projek Petronas dan sebuah lagi sedang membincangkan untuk mengeluar produk terkemuka di negara ini.

Katanya, beliau yakin selepas acara itu, profil Malaysia akan meningkat di kalangan syarikat AS untuk mengembangkan pelaburan mereka di negara ini.

Beliau berkata, mereka juga dimaklumkan mengenai transformasi yang berlaku dan mekanisme yang disediakan kerajaan dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti. – BERNAMA

***EA Technique, Gas Malaysia, Johor Port, Malakoff, Percetakan Negara, Petronas Synergy (???), mungkin ada lagi anak-anak syarikat FELDA***